Tuesday, May 26, 2009

KOPUTRI Ambil Alih Sambhi Clinic

KOPUTRI Ambil Alih Sambhi Clinic

Oleh Zaidatul Syreen Abdul Rashid

KUALA LUMPUR, 10 Mei (Bernama) -- Selepas menawarkan kepakaran dalam bidang perubatan, dengan pengkhususan dalam perkhidmatan obstetrik dan ginekologi selama 37 tahun, Sambhi Clinic di Jalan Medan Tuanku di sini, yang membantu proses kelahiran lebih 20,000 bayi, akan bertukar tangan setelah anggota keluarga pemilik klinik itu tidak berminat meneruskan perniagaan keluarga itu.

Datuk Dr J.S. Sambhi, pemilik pusat perubatan itu merancang menjual kliniknya kepada pihak lain setelah tiga anaknya, semuanya kini berada di luar negara, tidak berminat meneruskan minat beliau membuka klinik terbabit.

Bagaimanapun, Koperasi Putri Terbilang Malaysia Bhd (KOPUTRI) menjadi penyelamat dengan mengambil alih klinik itu menerusi urus niaga bernilai RM8.2 juta.

Perjanjian pembelian itu dimeterai di sini pada Rabu, antara Yang Dipertua KOPUTRI Datuk Noraini Ahmad dan Dr Sambhi.

Noraini berkata pembelian klinik itu, yang akan dinamakan semula sebagai KOOP Medical Centre, akan membolehkan ahli koperasi mendapat khidmat perubatan kesihatan pada kadar yang minimum.

"Seiring dengan penubuhan KOOP ini, pihak koperasi akan melancarkan Skim Khairat Kesihatan untuk kemudahan ahli," katanya.

Dengan pelancaran Skim Khairat Kesihatan, koperasi juga akan melancarkan KOOP Medical Card bagi memudahkan ahli semasa membuat pendaftaran di kaunter apabila menggunakan perkhidmatan di KOOP Medical Centre, katanya.

Sehingga ini, terdapat 12,000 ribu anggota yang berdaftar dengan KOPUTRI.

KOPUTRI didaftarkan pada 9 Mac, 2006 mengikut subseksyen 7 (1) Akta Koperasi 1993 sebagai suatu koperasi asas dengan liabiliti terhad.

KOPUTRI menjalankan aktiviti pendidikan, perkhidmatan pengguna jimat-cermat, pinjaman kepada kakitangan kerajaan, Insurans, Tabung Pendidikan, kemudahan penginapan, taska dan biasiswa pendidikan kepada anggotanya.

KOPUTRI beroperasi di seluruh negara, dengan ibu pejabat di Kuala Lumpur serta mempunyai cawangan di Sabah dan Sarawak.

Mengenai perasaannya melepaskan klinik itu, Dr Sambhi berkata beliau "tertekan" dan sedih kerana sudah membantu melahirkan lebih 20,000 bayi di situ.

"Saya pernah menerima pesakit dari Slim River, Melaka, Kuantan, malah Indonesia, untuk bersalin di sini. Dulu, tidak banyak hospital. Hanya kami (Sambhi Clinic), Assunta dan satu dua lagi," katanya kepada Bernama pada temu bual di kliniknya.

Dr Sambhi berkata klinik itu begitu sentimental kepadanya kerana ia seperti rumah keluarga dan bukan sebuah klinik.

"Mereka yang datang ke sini terdiri daripada pekerja atau pesakit, mereka seperti keluarga saya sendiri, mereka masih datang berjumpa saya, terutama apabila mengetahui saya akan melepaskan klinik ini," kata Dr Sambhi.

"Namun bila sudah sampai masanya, saya perlu berundur!" katanya bergenang air mata.

-- BERNAMA

No comments: