Tuesday, May 26, 2009

KoPutri beli klinik RM8.2 juta

[Utusan: 11.05.2009] - KoPutri beli klinik RM2.8 juta

[Utusan Malaysia, 11.05.2009]

***RALAT JUMLAH SEBENAR PEMBELIAN BANGUNAN ADALAH RM8.2 JUTA


Oleh Khairul Abidin Nuar
bisnes@utusan.com.my

Korporat

KUALA LUMPUR 10 Mei - Koperasi Putri Terbilang Malaysia Bhd. (KoPutri) telah memeterai perjanjian pembelian dua lot bangunan bernilai RM 2.8 juta milik Sambhi Clinic Maternity & Gynaecological Centre untuk mewujudkan Koop Medical Centre.

Perjanjian itu bertujuan memberikan nilai tambah dalam mewujudkan khidmat rawatan kesihatan meliputi rawatan sakit puan dan pesakit luar pada kadar minimum kepada ahlinya.

Usaha itu juga seiring dengan hasrat koperasi itu untuk melancarkan Skim Khairat Kesihatan khusus untuk kemudahan ahli.

Pada majlis yang dimeterai baru-baru ini, KoPutri diwakili Setiausahanya, Sharifah Aminah Al-Habshee manakala Sambhi Clinic diwakili oleh Datuk Dr. J.S. Sambhi. Turut hadir pada majlis itu, Yang Dipertua KoPutri, Datuk Noraini Ahmad.

Noraini berkata, oleh kerana kos rawatan dan perubatan kini mahal, pihaknya berharap pengambilan alih itu dapat membantu mengurangkan bebanan ahli-ahli koperasi tersebut.

"Bagaimanapun, pusat perubatan ini juga dibuka kepada orang awam tetapi kadar berbeza," jelasnya.

Ditanya tentang rasional pembelian Sambhi Clinic, Noraini berkata, klinik itu telah beroperasi sejak 37 tahun yang lalu dan mempunyai kemudahan perubatan yang lengkap.

"Sambhi Clinic juga mempunyai pekerja yang terdiri daripada orang kurang upaya (OKU), ini selari dengan dasar koperasi yang tidak mendiskriminasikan ahlinya.

"Kami juga berhasrat meneruskan pengambilan pekerja OKU kerana sebagai koperasi, kami mengutamakan kepentingan kebajikan ahli-ahli dan tidak menumpukan keuntungan semata-mata," katanya.

KoPutri yang didaftarkan pada tahun 2006 kini disertai 12,000 orang termasuk 7,000 ahli lelaki. Kutipan caruman yang dikenakan ialah serendah RM15 sebulan meliputi yuran simpanan dan yuran kebajikan.

Selain Koop Medical Centre, KoPutri berhasrat memperluas cawangan di seluruh negara termasuk pemberian biasiswa pelajaran, penyediaan taska dan memperhebat Skuad Kasih Puteri, program sedia ada yang dijalankan untuk mengurangkan kemiskinan tegar di negara ini.

Sementara itu, Sharifah Aminah berkata, setakat ini KoPutri membayar 10 peratus daripada jumlah keseluruhan pembelian bangunan itu.

No comments: