Thursday, December 25, 2008

HASAD DENGKI

Sumber dari laman web www.masjid.gov.bn 04 Jamadilawal 1424/04 Julai 2003 (Teks khutbah jumaat Negara Brunei Darussalam)

Kaum muslimin yang dirahmati Allah,

Marilah kita bersama-sama meningkatkan ketakwaan kita kepada Allah Subhanahu Wataala dengan melakukan segala perintahnya dan meninggalkan segala apa jua larangannya, mudah-mudahan segala amal soleh yang kita kerjakan itu mendapat ganjaran pahala daripada Allah Subhanahu Wataala.


Telah menjadi sunnatullah setiap manusia diciptakan mempunyai kelebihan dan kekurangan masing-masing. Ada manusia yang hidupnya dipenuhi dengan nikmat kemewahan dan kesenangan. Ada pula hidupnya hanya sederhana, tidak kurang juga ada yang hidup dalam kesengsaraan dan kesusahan. Begitu juga ada yang bijak akal fikirannya dan ada pula yang sebaliknya. Kesemuanya ini telah menjadi qada' dan qadar Allah Subhanahu Wataala dan ketentuannya dalam melebihkan dan mengurangkan anugerah nikmatnya terhadap hamba-hambanya kerana Allah Subhanahu Wataala lebih mengetahui apa yang baik untuk hamba-hambanya.

Dalam memelihara keimanan dan tingkah laku kita sebagai seorang muslim, sepatutnya kita merasa gembira dengan kesenangan dan kelebihan yang diperolehi oleh saudara kita yang lain. Tetapi apa yang sering kita lihat sejak dari zaman Nabi Adam Alaihissalam lagi hingga sekarang ini, sifat iri hati dan hasad dengki seolah-olah menjadi darah daging dalam jiwa manusia. Sifat yang keji ini, jika tidak dirawat, lama kelamaan akan membawa padah yang amat buruk pada diri manusia sendiri dan pada masyarakat sekelilingnya.

Ahli Jumaat sekalian,

Apa yang dimaksudkan dengan hasad dengki? Hasad dengki itu ialah rasa kurang senang terhadap nikmat yang dikecapi oleh orang lain, lalu mengharap agar nikmat itu terhapus darinya, dengan apa jua cara sekali pun dengan melakukan perkara yang bertentangan dengan hukum syara’. Hasad dengki lahir dari perasaan cinta pada dunia dan lupa akan kebesaran Allah Subhanahu Wataala. Hasad dengki tidak mengenal pertalian keluarga, tidak mengenal sahabat dan rakan sekerja. Keluarga yang rapat menjadi renggang, sahabat yang akrab menjadi musuh, rakan sekerja tidak sehaluan, semua ini disebabkan oleh perasaan hasad dengki.

Dari hasad dengki ini akan menimbulkan beberapa sifat yang juga merupakan di antara sifat mazmumah, antaranya:-

Pertama - Sentiasa mempengaruhi jiwa dengan sifat-sifat kebencian dan permusuhan.

Kedua - Tertanam dalam jiwa sifat meninggi diri dan sentiasa menganggap diri lebih dari orang lain.

Ketiga - Mempunyai sikap tidak puas hati. Seolah-olah menuduh Allah Subhanahu Wataala tidak berlaku adil ke atas pemberian nikmat, yang pada anggapannya dia lebih layak mendapat nikamt tersebut.

Ahli Jumaat sekalian,

Marilah kita imbas kembali budi pekerti yang telah ditunjukkan oleh para sahabat Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam yang sedikit pun tidak memiliki perasaan hasad dengki akan kesenangan dan nikmat yang dikecapi oleh saudaranya yang lain Walau pun hidup mereka ada yang terlalu miskin, tetapi hati mereka sentiasa lapang, tidak pernah sempit dengan sifat iri hati terhadap kesenangan orang lain. Budi pekerti mereka yang mulia ini, telah mendapat pujian dari Allah Subhanahu Wataala melalui firmannya dalam Surah Al-Hasyr, ayat 9 :-

Tafsirnya :

Mereka tiada meletakkan sesuatu keinginannya di dalam dada-dada mereka daripada nikmat yang dikecapi oleh orang lain, sekali pun mereka dalam keadaan kekurangan.
Syariat Islam amat melarang keras umatnya yang bersifat dengki, kerana sifat dengki akan memakan diri sendiri, lebih daripada orang yang didengkinya. Lazimnya orang yang dengki jiwanya tidak tenteram dan sentiasa pedih dan pilu. Apatah lagi jika orang yang didengkinya itu semakin bertambah-tambah kesenangannya.

Berlainan halnya jika seseorang itu mengharapkan nikmat yang sama, yang ada pada orang lain dan tidak pula ia bercita-cita melenyapkan nikmat tersebut. Sebaliknya ia berniat dan berusaha untuk mencapainya. Hal ini jelas disebutkan di dalam sebuah hadith Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam :-

Maksudnya :

Daripada Abdullah bin Mas’ud katanya Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam bersabda : Tiada hasad dengki yang dibenarkan melainkan dalam dua perkara seseorang yang dikurniakan Allah harta yang banyak, lalu ia menyedekahkan harta itu dalam perkara-perkara yang hak dan benar. Sehinggalah hartanya habis dan seorang yang di kurniakan Allah dengan ilmu, lalu ia mengamalkan ilmunya itu serta mengajarkannya kepada orang lain. (Riwayat Al-Imam Al-Bukhari).

Dalam hal seperti ini kita tidak dilarang jika berhasad dengki untuk mendapat kebaikan di sisi Allah Subhanahu Wataala. Malah ada kalanya dituntut oleh syara’, Firman Allah Subhanahu Wataala dalam surah Al-Hadiid, ayat 21:-
Tafsirnya :

Berlumba-lumbalah kamu mengerjakan amal-amal yang baik untuk mendapat keampunan dari Tuhan kamu, dan mendapat syurga yang bidangnya luas segala langit dan bumi yang disediakan bagi orang-orang yang beriman kepada Allah dan Rasul-Rasulnya yang demikian ialah limpah kurnia Allah, diberikannya kepaa siapa yang dikehendakinya dan Allah sememangnya mempunyai limpah kurnia yang besar.

Ahli Jumaat sekalian,

Oleh itu berhati-hatilah kita semua daripada perbuatan hasad dengki ini khususnya kepada hasad dengki yang dilarang oleh agama. Kerana penyakit ini adalah salah satu sifat yang di benci oleh Allah Subhanahu Wataala dan membawa padah yang buruk kepada diri kita dan masyarakat sekeliling.

Firman Allah Subhanahu Wataala dalam surah Asy-Syuura, ayat 27 :-

Tafsirnya :

Dan jikalau Allah melapangkan rezeki hamba- hambanya tentulah mereka akan melampau batas di muka bumi, tetapi Allah menurunkan apa yang dikehendakinya dengan ukuran, sesungguhnya Allah Subhanahu Wataala itu maha mengetahui keadaan hamba-hambanya lagi maha melihat.

No comments: