Monday, December 15, 2008

SKUAD UKHWAHcare DI PERLIS




SUMBER DARI UTUSAN MALAYSIA 16 Disember 2008 / 18 Zulhijjah 1429

PENDERITAAN IBU TUNGGAL DAPAT PERHATIAN

PADANG BESAR 15 Dis. - Kesempitan hidup ibu tunggal, Che Om Saad, 48, di Kampung Sungai Serai, Chuping di sini yang hidup dalam keadaan serba daif dalam sebuah pondok tanpa kemudahan asas mendapat perhatian apabila Koperasi Pendidikan Islam Malaysia Berhad (Ukhwah) menghulurkan bantuan meringankan beban yang ditanggung.

Selain menyumbang keperluan harian, Ukhwah turut menawarkan biasiswa pendidikan sebanyak RM70 sebulan kepada anak lelaki Che Om berumur 13 tahun yang terpaksa berhenti persekolahan tahun lalu akibat kesempitan hidup.

Pengurus Komunikasi Korporat dan Perhubungan Awam Koperasi Ukhwah, Sharifah Aminah al-Habshee berkata, pihaknya juga bercadang menjadikan anak Che Om itu sebagai anak angkat bagi membiayai pendidikan anaknya itu sehingga tingkatan lima di Kuala Lumpur jika mendapat persetujuan ibunya.

Katanya, Koperasi Ukhwah mempunyai kemudahan asrama bagi golongan kurang bernasib baik untuk memberikan pendidikan kepada anak-anak mereka di Kuala Lumpur dan pembiayaan pendidikan dibiayai sepenuhnya oleh koperasi itu sehingga tingkatan lima.
'
'Bagaimanapun ini bergantung kepada keputusan Che Om jika membenarkan anaknya itu tinggal di asrama di Kuala Lumpur dan jika dia keberatan kami akan menyumbangkan biasiswa RM70 sebulan sehingga anaknya itu tamat tingkatan lima," katanya di sini semalam.

Selain keluarga malang itu, Koperasi Ukhwah turut menawarkan kemudahan pendidikan kepada Mohd. Norshahrul Amri Anuar, 14, atau lebih dikenali sebagai Mat yang tinggal di Yan, Kedah.
Kesusahan Che Om sebelum ini dipaparkan dalam akhbar pada 14 November lalu apabila dia hidup dalam keadaan daif dalam pondok kecil yang diperbuat daripada zink selepas kematian suaminya.

Akibat kesempatan hidup dia yang bekerja sebagai pembantu sebuah kantin dengan gaji kira-kira RM300 sebulan tidak mampu menghantar dua anaknya yang berusia 13 dan 16 tahun untuk bersekolah.

Sementara itu, Che Om berkata, dia berterima kasih kepada pihak yang bersedia membantunya mengurangkan kemiskinan yang dialaminya sehingga ada yang sanggup menawarkan biasiswa kepada anaknya itu untuk menyambung persekolahan.

''Saya bersyukur dan berterima kasih kepada Koperasi Ukhwah yang datang dari jauh untuk membantu kami sekeluarga dan tidak lupa juga kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) yang kini memberikan bantuan bulanan sebanyak RM190 sebulan kepada kami.

''Mengenai bantuan pendidikan berasrama di Kuala Lumpur yang ditawarkan itu saya akan berbincang," katanya.

Selain bantuan tersebut, difahamkan keluarga Che Om juga akan menerima bantuan perumahan daripada seorang ahli perniagaan yang bersimpati terhadap nasib keluarga malang tersebut.

No comments: