Sumber : Utusan Malaysia 15 Disember 2008 / 17 Zulhijjah 1429
www.utusan.com.myNasib keluarga Mat terus dibela
|
Sharifah Aminah Al Habshee (kanan) membantu Norsidah Abu memilih pakaian sekolah Mohd. Wafi, Mohd. Adam, Ima Edayu dan Mastuti Nursiti Atikah (kiri sekali) bagi persiapan sesi persekolahan 2009 di sebuah pasar raya di Gurun, Kedah, semalam. |
YAN 14 Dis. - Kisah keperitan hidup Mohd. Norshahrul Amri Anuar, 14, di sini yang pernah dipaparkan Utusan Malaysia beberapa bulan lalu terus mendapat pembelaan apabila Koperasi Pendidikan Islam Malaysia Berhad (Ukhwah) menjadi pihak terbaru tampil membantu kesusahan keluarga remaja itu.
Selain menyumbang barangan makanan dan keperluan asas, Ukhwah hari ini turut membeli kelengkapan persekolahan untuk Mohd. Norshahrul atau lebih dikenali sebagai Mat dan enam lagi adiknya sebagai persiapan mereka memasuki sesi persekolahan baru tahun depan.
Empat adik Mat yang masih bersekolah ialah Mastuti Nursiti Atika, 13, Ima Edayu, 11, Mohd. Adam, 9, dan Mohd. Wafi, 7, manakala pasangan kembar Mohd. Ellyas, 5, serta Mohd. Ellyasaq, 5, akan memasuki pra sekolah.
Pengurus Komunikasi Korporat dan Perhubungan Awam Koperasi Ukhwah, Sharifah Aminah Al-Habshee berkata, pihaknya juga akan menjadikan Mastuti sebagai anak angkat kepada koperasi berkenaan selepas mendapat persetujuan keluarganya.
"Mastuti akan dimasukkan ke asrama di Kuala Lumpur dan pembiayaan persekolahannya ditanggung sepenuhnya oleh Ukhwah sehingga dia tamat tingkatan lima. Ini adalah antara usaha koperasi untuk meringankan beban yang ditanggung oleh keluarga itu.
"Kami berusaha membantu agar anak-anak keluarga miskin seperti ahli keluarga Mat tidak tercicir daripada alam persekolahan," katanya ketika ditemui selepas mengunjungi rumah Mat di Titi Bakong di sini hari ini.
Nasib Mat yang terpaksa berhenti sekolah dan bekerja sebagai kelindan lori dengan pendapatan harian RM10 untuk menyara lapan adiknya setelah bapanya dipenjarakan mengundang simpati pelbagai pihak selepas kisahnya disiarkan dalam Utusan Malaysia pada penghujung September lalu.
Selain pelbagai bantuan dihulurkan bagi meringankan beban keluarganya, Mat juga dapat kembali ke sekolah selepas mendapat sokongan pelbagai pihak yang mahu memastikan dia tidak lagi tercicir dalam pelajaran.
Dalam pada itu, ibu Mat, Norsidah Abu, 30, melahirkan rasa terharu dengan sumbangan Ukhwah yang membelikan kelengkapan persekolahan untuk anak-anaknya yang tidak mampu dilakukan oleh keluarganya itu.
Katanya, keluarganya tidak mempunyai pendapatan tetap dengan hanya mampu mengharapkan bantuan pelbagai pihak termasuk Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) manakala suaminya yang dibebaskan dari penjara awal bulan ini masih mencari pekerjaan.
"Anak-anak saya sebelum ini ada meminta baju sekolah yang baru tetapi kami tidak mampu memenuhi permintaan itu kerana duit yang ada perlu digunakan untuk perbelanjaan harian.
''Hari ini saya berasa amat terharu dan berterima kasih kerana permintaan anak-anak saya itu dipenuhi menerusi sumbangan Ukhwah. Saya juga bersyukur kerana Mastuti turut dijadikan anak angkat koperasi,'' katanya.
1 comment:
bagus laa tue,mcm2 lah ukhwah telah sumbangkan...moga2 usaha ini akan diteruskan kelak...chaiyokkk
Post a Comment